Ya Allah.. tetapkan hati-hati kami teguh di jalan yang benar.. jalan yang Engkau redhai.. Tabahkanlah hati-hati ini tatkala diuji dengan mehnah tanpa hati.. Agar hati-hati ini tidak tersingkir dalam penapisan yang dilaksanakan.. kan tiba di pengakhiran yang menjadi impian hati.. bertemuMu bersama di taman syurga Firdausi

Wednesday, 22 August 2007

38 wajibat Risalah Ta'alim yg perlu kita berusaha untuk laksanakan..

Pesanan as-syahid Imam Hassan al-Banna

Wahai akh(akhawat) yang benar dalam dakwahnya:
1. Kamu hendaklah mempunyai wirid al-Quran harian iaitu tidak kurang dari satu juzuk sehari dan berusahalah agar kamu menghabiskannya dalam masa yang tidak lebih dari sebulan dan tidak kurang dari tiga hari.

2. Hendaklah kamu perelokkan bacaan al-Quran kamu, mendengar dan mentadabbur makna-maknanya. Hendaklah kamu memenuhi masa kamu dengan mempelajari sirah yang suci dan juga sejarah para salaf, paling kurang bacalah kitab `Humatul Islam'. Hendaklah juga kamu banyakkan membaca hadis Rasulullah s.a.w, menghafal paling kurang empat puluh hadis dan seboleh-bolehnya hendaklah hadis empat puluh pilihan an-Nawawi. Kamu juga hendaklah mempelajari usul akidah dan cabang-cabang fekah.

3. Sentiasa membuat pemeriksaan am kesihatan dan mendapat rawatan setiap penyakit yang dihidapi, juga mementingkan unsur-unsur kekuatan dan pencegah penyakit jasmani dan menjauhi unsur-unsur pembawa penyakit.

4. Jauhkan dari terlampau banyak minum kopi, teh dan lain-lain minuman penyegar, jangan minum minuman-minuman ini kecuali ketika darurat. Janganlah sekali-kali merokok.

5. Hendaklah menjaga kebersihan dalam setiap perkara sama ada dalam tempat tinggal, pakaian, makanan, badan dan juga tempat kerja. Agama dibina atas asas kebersihan.

6. Hendaklah bercakap benar dan jangan sekali-kali berdusta.

7. Hendaklah jujur dalam menunaikan segala janji dan kata-kata. Janganlah melanggarnya walaupun apa juga keadaan.

8. Hendaklah menjadi seorang yang berani dan tabah menanggung kesusahan. Keberanian yang paling utama adalah berterus terang dalam perkara benar, merahsiakan perkara yang rahsia, mengakui kesilapan sendiri dan insaf diri dan mampu mengawal diri ketika marah.

9. Hendaklah sentiasa warak, tenang dan serius. Kewarakan kamu tidak menghalang kamu dari gurauan benar ataupun suka dalam senyuman.

10. Hendaklah menjadi seorang yang pemalu dan sensitif, kuat terkesan dengan kebaikan dan keburukan iaitu bergembira dengan yang pertama (kebaikan) dan sedih dengan perkara yang kedua (keburukan). Hendaklah juga menjadi seorang yang tawadhuk dalam perkara yang bukan mendatang kehinaan, ketundukan dan pendustaan. Hendaklah meminta gaji yang kurang dan gaji sebenarnya agar kamu
dapat sampai kepada darjat tawadhuk.

11. Hendaklah sentiasa adil dan benar dalam setiap keputusan yang diambil dalam apa jua keadaan. Kemarahan kamu kepada sesuatu perkara janganlah melupakan kamu akan kebaikan-kebaikan yang ada, begitu juga perasaan redha kamu pada satu perkara janganlah menutup segala kejahatan yang ada. Janganlah pertelingkahan kamu menjadikan kamu melupakan segala nilai murni. Bercakap benarlah walaupun dalam perkara yang menyentuh diri sendiri ataupun menyentuh orang yang terdekat dengan kamu sekalipun perkara yang kamu tidak sukai.

12. Hendaklah menjadi seorang yang sentiasa cergas, ringan tulang dalam khidmat awam, gembira dan riang jika dapat memberikan bantuan dan khidmat kepada orang lain. Ziarahilah orang sakit, bantulah orang yang berhajat, menanggung orang yang lemah, membantu orang yang ditimpa kemalangan walaupun hanya dengan
perkataan yang baik, juga sentiasalah bersegera dalam amalan kebaikan.

13. Hendaklah menjadi seorang yang menyayangi, memuliakan, memaafkan, mengampun dan berlembut dengan manusia mahupun binatang. Hendaklah mempunyai interaksi dan akhlak yang elok dengan semua manusia, memelihara adab Islam dan kemasyarakatan, mengasihi kanak-kanak, memuliakan dan menghormati orang tua, melapangkan majlis, tidak menyelinap dan merisik hal orang lain, tidak mengumpat dan bertempik-tempik, meminta izin jika ingin masuk dan keluar dan lain-lain lagi.

14. Bijak dalam membaca dan menulis, banyak mentelaah perutusan-perutusan, akhbar, majalah Ikhwan dan sebagainya. Hendaklah membuat perpustakaan sendiri walaupun kecil, hendaklah kamu menjadi seorang yang pakar dalam bidang ilmu dan seninya jika kamu seorang ahli takhasus. Hendaklah kamu menguasai hal-ehwal am
Islam yang membolehkan kamu menggambarkannya dan memutuskan sesuatu hukum yang bertepatan dengan kehendak fikrah.

15. Hendaklah berkecimpung dalam kerja ekonomi walaupun banyak mana harta kamu. Hendaklah melebihkan kerja sendiri walaupun dengan pendapatan yang kecil, juga hendaklah menumpukan segala usaha kamu kepadanya walaupun setinggi mana tahap pencapaian akademik kamu.

16. Jangan terlalu mengharapkan kerja dengan kerajaan dan hendaklah kamu menganggapnya sebagai pintu rezeki yang paling sempit. Jangan pula kamu menolaknya jika kamu diberikan peluang. Janganlah kamu melepaskannya kecualilah jika ia bertentangan secara langsung dengan kewajipan dakwah.

17. Pastikan kamu melakukan pekerjaan kamu dengan seelok eloknya, penuh ketekunan, dedikasi, tidak menipu dan tepat pada masanya.

18. Hendaklah kamu menjadi seorang yang bijak menunaikan hak-hak kewajipan kamu, hendaklah menunaikan hak-hak orang lain dengan sempurna tidak ada kekurangan, dan tidak sekali menangguh-nangguh.

19. Hendaklah jauhkan diri dari sebarang jenis perjudian walaupun apa tujuan lain di belakangnya, jauhkanlah diri dari segala punca pendapatan yang haram walaupun sebanyak mana keuntungan segera yang akan didapati.

20. Jauhkan diri dari riba dalam segala bidang muamalah dan bersihkan diri anda keseluruhannya dari riba.

21. Hendaklah memberikan khidmat positif kepada perkembangan ekonomi Islam dengan mendokong segala kilang-kilang dan binaan-binaan ekonomi Islam. Jagalah setiap sen duit kamu agar jangan terjatuh ke tangan pihak bukan Islam walau apa jua keadaan. Janganlah kamu makan dan pakai kecuali dari makanan dan pakaian
buatan negara Islam kamu sendiri.

22. Memberikan saham sebahagian dari harta kamu untuk dakwah, menunaikan zakat yang diwajibkan ke atas kamu dan jadikanlah ia sebagai hak yang maklum kepada orang yang berhajat dan ketiadaan harta benda, walau sekecil manapun pendapatanmu.

23. Hendaklah mempunyai simpanan harta walaupun sedikit untuk masa kecemasan dan jangan sekali-kali terjerumus dalam membelanjakannya kepada perkara yang hanya bersifat menyempurnakan.

24. Hendaklah berusaha sedaya upaya untuk menghidupkan segala adat-adat Islam dan menghapuskan adat-adat asing dalam seluruh aspek kehidupanmu. Antaranya: adat-adat yang bersangkutan dengan salam alu-aluan, bahasa, sejarah, fesyen, perkakas rumah, jadualkerja dan rehat, makanan dan minuman, jadual sampai dan bertolak, kesedihan dan kesukaan dan sebagainya. Hendaklah kamu sentiasa
merujuknya daripada sunah Rasulullah s.a.w yang suci.

25. Hendaklah kamu memulaukan segala mahkamah tradisi dan setiap hukuman yang tidak menepati Islam, memulaukan sepenuhnya kelab-kelab, media massa, kumpulan, sekolah-sekolah dan pertubuhan yang menentang fikrah kamu.

26. Sentiasa bermuraqabah kepada Allah Taala, mengingati akhirat dan bersedia untuknya. Hendaklah kamu melakukan segala perkara yang menyampaikan kamu kepada keredhaan Allah dengan penuh kebanggaan dan keazaman. Hendaklah mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadat-ibadat sunat seperti sembahyang malam, berpuasa sekurang-kurangnya tiga hari sebulan, memperbanyakkan zikir hati dan lidah dan menyertakan doa yang muktabar dalam setiap keadaan.

27. Hendaklah kamu sentiasa menjaga kesucian badan kamu dan sentiasa berada dalam keadaan berwudhuk kebanyakan waktu.

28. Perelokkan sembahyang kamu, sentiasa mengerjakannya pada waktunya dan menjaganya agar ditunaikannya secara berjemaah dan di masjid sejauh kemampuan kamu.

29. Hendaklah berpuasa Ramadhan, mengerjakan haji jika mampu dan berusaha ke arahnya jika kamu masih belum ada kemampuan mengerjakan haji.

30. Sentiasalah sematkan niat untuk berjihad dan perasaan mencintai syahid dalam hatimu dan bersedialah untuk itu sedaya upaya kamu.

31. Hendaklah sentiasa memperbaharui taubatmu, sentiasa beristighfar, melepaskan diri dan dosa-dosa kecil tambahan pula dosa-dosa besar. Hendaklah kamu memperuntukkan sedikit masa untuk menghitung amalanmu sama ada baik ataupun tidak, sebelum tidur, berwaspada dari membuang masa kerana masa adalah kehidupan, tidak menghabiskannya dalam perkara yang tidak berfaedah dan hendaklah kamu warak dalam perkara yang syubhat supaya kamu tidak terjerumus
dalam perkara yang haram.

32. Hendaklah kamu berjihad keras melawan nafsu kamu supaya kamu dapat mengawalnya, hendaklah kamu menundukkan pandangan kamu, mengawal perasaan kamu, melawan dorongan seks dalam diri kamu dan hendaklah sentiasa mencari perkara yang halal dan baik dan menghalang kamu dari melakukan perbuatan yang haram.

33. Hendaklah kamu menjauhkan diri sejauh-jauhnya dari arak dan perkara yang memabukkan dan menghilangkan kewarasan dan yang seumpamanya.

34. Hendaklah kamu menjauhkan diri kamu dari kawan yang jahat dan merosakkan begitu juga dari tempat-tempat maksiat dan dosa.

35. Hendaklah kamu memerangi tempat-tempat yang melalaikan lebih-lebih lagi dari mendekatinya. Kamu juga hendaklah menjauhkan diri dari segala bentuk kemewahan.

36. Hendaklah kamu mengenali dengan terperinci setiap individu dari kalangan anggota katibah kamu dan juga kenalkan diri kamu sedetailnya kepada mereka. Tunaikanlah hak-hak persaudaraan secara sempurna seperti kasih sayang, menghargai saudara, bantu membantu dan melebihkan mereka dari diri kamu sendiri (ithar). Hendaklah kamu sentiasa menghadiri perjumpaan mereka dan janganlah ponteng darinya kecualilah dengan sebab keuzuran yang memaksa. Hendaklah sentiasa melebihkan mereka dalam setiap interaksi kamu.

37. Hendaklah merungkaikan segala ikatan kamu dengan segala pertubuhan atau jemaah yang tidak ada hubungkaitnya dengan kepentingan fikrah kamu khasnya jika kamu diperintahkan sedemikian.

38. Berusahalah untuk menyebarkan dakwah kamu ke setiap pelusuk bumi ini dan hendaklah sentiasa memberitahu pimpinan kamu apa sahaja keadaan yang kamu hadapi dan janganlah membuat sesuatu yang memberikan kesan yang besar kecuali dengan izin, hendaklah sentiasa berada dalam hubungan sama ada ruh atau amali dengan pimpinan. Hendaklah kamu sentiasa menganggap diri kamu sebagai
seorang tentera di pengkalannya yang sentiasa bersedia menunggu
arahan.

No comments:

Sabda Rasulullah s.a.w.:
Iman mempunyai 60 lebih cabang. Malu adalah salah satu cabang iman. (Riwayat al-Bukhari).

Whats ur Mood Today?

Whats ur Mood Today?
Ingatlah Allah, hati kan tenang

Visitors